KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung satu video tular menerusi media sosial yang memfitnah Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata video berdurasi 59 saat itu dikesan pada 5.30 petang tadi dengan memaparkan seorang lelaki sedang berdiri di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih, berucap menggunakan pembesar suara menyuarakan beberapa perkara yang mempertikaikan pemerintahan kerajaan semasa.

"Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku di tepi jalan berhampiran kawasan letak kenderaan luar Mahkamah Jalan Duta, di sini semasa proses pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berlangsung semalam.

"Ucapan individu itu mempunyai kecenderungan untuk memberi persepsi yang mungkin mendatangkan kegusaran kepada awam," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Menurut Beh, pihak polis yang memandang serius dakwaan itu menjalankan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan kaum.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggari undang-undang di dalam negara ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222," katanya.

-- BERNAMA