JOHOR BAHRU: Polis menahan 12 ahli sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin yang dikenali sebagai "Geng Janggut" menerusi Op Benteng di tiga lokasi di sekitar bandar raya ini dan Kulai pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tangkapan itu melibatkan 10 warga Indonesia dan dua warga tempatan berusia antara 22 hingga 50 tahun terdiri daripada tiga tekong darat, tiga pengangkut , seorang penjaga rumah transit dan lima pendatang tanpa izin.

Sindiket ini diketuai seorang warga Indonesia dikenali sebagai "Janggut" yang dibantu dua lagi rakan senegara dan beroperasi di sekitar kawasan Sungai Tengah Bandar Penawar, Kota Tinggi serta mula bergerak aktif sejak April lepas.

"Bayaran yang dikenakan ke atas warga asing yang ingin memasuki ke negara ini kira-kira RM1,300, manakala bayaran untuk mereka keluar kira-kira RM1,500," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai mendapat bantuan dan kerjasama daripada ejen atau pengurus yang akan bertindak sebagai pengatur pergerakan pendatang asing.

Ayob Khan berkata sejak Jun hingga September tahun ini, sindiket terbabit dipercayai telah mengatur pergerakan masuk kira-kira 465 warga asing dan pergerakan keluar 150 pendatang asing menerusi lima pendaratan bot di Sungai Tengah, Bandar Penawar.

Kesemua tangkapan melibatkan sembilan lelaki dan tiga wanita itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 Sosma dan Seksyen 26(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

-- BERNAMA