KUALA LUMPUR: Polis menahan 12 individu termasuk lima wanita kerana disyaki menjadi keldai dadah serta merampas kira-kira 18.5 kilogram (kg) kanabis bernilai RM68,375 dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 26 Feb hingga 2 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata kesemua mereka berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun itu bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak tiga hingga sembilan bulan lepas.

"Pihak kami terima maklumat yang mereka ini sedang melakukan transit di kawasan Sentul dari pantai timur sebelum ke selatan tanah air," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan pertama polis menahan seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Kuching di sini pada 12.30 tengah hari 26 Feb lepas dan merampas dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 3.4 kg.

Hasil soal siasat ke atas lelaki terbabit, beliau berkata empat lelaki dan lima wanita ditahan di sebuah kondominium di Jalan Gombak setengah jam selepas itu bersama 6.7 kg dadah kanabis.

Dalam pada itu, Ahmad Sukarno berkata dua lelaki lagi ditahan di sebuah kondominium di Sentul pada 7 pagi Sabtu lepas selain 8.4 kg kanabis dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA