GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki kerana menyamun rantai leher dan mencederakan seorang kontraktor dalam kejadian samun di bawah sebuah flat di Jalan Sungai, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dua suspek berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan secara berasingan di George Town semalam, iaitu tidak sampai 24 jam selepas kejadian samun berlaku.

"Polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 31 tahun yang semasa kejadian pada 6 pagi (Ahad) ketika mangsa berada di bawah kawasan flat itu, telah didatangi tiga lelaki tempatan yang tidak dikenalinya.

"Mereka bertanyakan kepada mangsa "U Siapa?" sebelum suspek-suspek tersebut memukul lelaki itu dan seorang daripadanya menarik rantai emas yang dipakai kontraktor tersebut sebelum mereka melarikan diri," katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kerugian RM5,000 dalam kejadian itu membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Soffian berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menahan suspek pertama iaitu penganggur di Jalan Datuk Keramat pada 4.27 petang semalam sebelum menangkap rakannya di Jalan Sungai yang bekerja sebagai "bouncer" pada 5.51 petang hari yang sama.

Katanya ujian air kencing mendapati lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah manakala rakannya negatif namun kedua-dua mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah serta dadah.

"Polis kini giat mengesan seorang lagi lelaki yang turut terlibat dalam kejadian itu dan kedua-dua suspek yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Soffian berkata sampel darah seorang wanita yang memandu kereta BMW secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, tengah malam semalam (Isnin) telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia.

Katanya ia bagi mengenal pasti sama ada terdapat kandungan alkohol atau dadah dalam darah wanita berusia 44 tahun itu semasa memandu ketika kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu.

"Setakat ini pemandu BMW itu masih ditahan wad (sebuah hospital swasta) dijangka dalam dua hingga tiga hari lagi akan dapatkan keterangan penuh (daripada wanita itu)," katanya.

Dalam kemalangan di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala ke pusat bandar itu, seorang lelaki warga tempatan yang memandu kereta jenis Perodua Bezza mengalami kecederaan di abdomen selepas keretanya bertembung dengan BMW terbabit.

-- BERNAMA