Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun di sekitar bandar ini dalam serbuan di sebuah rumah dekat Air Putih, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, serbuan dilakukan pukul 8 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan setelah menerima maklumat orang awam.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek yang berusia 20 tahun cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mereka ditahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menemui sebilah parang panjang selain turut menyita sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai milik seorang suspek.

Kedua-dua suspek yang juga positif dadah kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA