IPOH: Polis menahan tiga lelaki di Gerik, lebih 120 kilometer dari sini, dan seorang lagi di Sungai Petani, Kedah, yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood berkata tiga lelaki yang berumur 30 hingga 34 tahun itu ditahan Jumaat lepas, susulan maklumat awam yang melaporkan kelibat mereka, dipercayai sedang mencuri kabel di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik di Jalan Kuala Kenderong.

Beliau berkata hasil maklumat yang diterima, polis menahan sebuah lori di kilometer 26, Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik, dan menemukan peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel, serta potongan 42 kabel tertera logo TM di dalam lori yang dinaiki ketiga-tiga lelaki itu.

"Ketiga-tiga suspek direman hingga 3 Julai, dan kemudiannya dilanjutkan lagi hingga 5 Julai bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya hasil soal siasat, polis kemudiannya menahan seorang lagi suspek berumur 50 tahun di Sungai Petani semalam, yang kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan, mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri.

"Pihak TM turut membuat laporan polis berhubung insiden itu pada hari sama kejadian dan kerugian dianggarkan bernilai RM15,600," katanya.

-- BERNAMA