MELAKA: Polis menahan 11 lelaki yang menunggang motosikal secara berkumpulan dalam keadaan berbahaya di Jalan Telok Mas di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata kumpulan lelaki yang berusia antara 17 dan 30 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berkaitan perbuatan mereka yang tular di media sosial di Balai Polis Kandang di sini.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 8.00 malam berhubung penyebaran dua klip video berdurasi 23 saat dan 30 saat yang dimuat naik di Facebook Melaka Viral Terkini (Group) memaparkan perbuatan sekumpulan lelaki menunggang motosikal secara berkumpulan membawa bendera Palestin yang mengundang bahaya kepada mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

"Daripada 11 lelaki yang ditahan, tiga dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi manakala lapan lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pagi ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Afzanizar berkata lapan lelaki itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 kerana menunggang kenderaan dalam keadaan melulu dan berbahaya.

-- BERNAMA