SIBU: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama 381.38 gram dadah pelbagai jenis dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Lanang di sini pada Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata serbuan itu dibuat pada kira-kira 12.20 tengah malam dan pasukan keselamatan menemukan 10 paket plastik pelbagai saiz bertulis Juice Master disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi dengan berat kasar 376.2 gram semasa pemeriksaan ke atas suspek.

"(Turut dijumpai) tiga paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal seberat 3.78 gram disyaki ketamin dan empat biji pil ekstasi dengan berat kasar 1.4 gram. Nilai semasa rampasan dianggarkan berjumlah RM5,101," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dan polis telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA