KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian kehilangan besi perancah dan genset bernilai RM400,000, milik sebuah syarikat di Gudang Lot Lepau Plantar, Pengerang di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an di Pekan Jabi, Segamat, kira-kira 5 petang, semalam.

"Susulan itu, kita berjaya menemukan kesemua barangan hilang yang disembunyikan di kawasan hutan Jalan Sungai Pulai, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, sekali gus berjaya menyelesaikan kes terbabit dalam tempoh 31 jam.

"Kita turut menemukan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dilaporkan hilang, bersabit laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, sejak Mac tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek yang memiliki dua rekod jenayah lampau itu kini direman tiga hari sehingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA