MALAYSIA
Polis tahan lelaki potong kabel di Sungai Tiram

Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memotong kabel di tepi jalan Sungai Tiram, Johor, selepas video kejadian tular di media sosial. -Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat memotong kabel di tepi jalan Sungai Tiram di sini, semalam.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memotong kabel di tepi jalan Sungai Tiram, Johor, selepas video kejadian tular di media sosial.
- Suspek berusia 34 tahun mempunyai empat rekod jenayah dan dadah, serta didapati positif methamphetamine dalam ujian air kencing.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; polis menyeru orang ramai salur maklumat jenayah.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 20 Sept kira-kira pukul 3 pagi di Jalan Raya Sungai Tiram, dan suspek berusia 34 tahun berjaya ditahan pada hari sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, selain ujian saringan awal air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membinasakan kabel, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
"Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.
"Polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah untuk menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Seri Alam di talian 07-3871422 atau hotline 07-3861422," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami