Polis menahan seorang lelaki warga Nepal bagi membantu siasatan kes pukul pengawal keselamatan dalam kejadian yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan jam 5 petang Isnin hasil kerjasama Kedutaan Nepal di Malaysia dan orang awam.

Suspek kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Rajab dalam satu kenyataan turut memaklumkan suspek akan dibawa ke mahkamah pada pagi ini untuk proses reman.

Mengulas lanjut, Rajab memohon bantuan orang ramai untuk mengesan mangsa kejadian itu (pengawal keselamatan yang dipukul) bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 atau ASP M Hussin Sollehuddin Zolkifly (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju) di talian 017-2446363 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Pada 31 Julai lepas, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju pada 7 Julai lepas.

Kejadian itu menerima kecaman ramai dan beberapa laporan polis turut dibuat oleh pelbagai pihak termasuk pejabat Kedutaan Nepal di Malaysia.