Seorang pekebun yang disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan ketika berada dalam sebuah bot di tepi Sungai Perak, Pam Pasir Kubang Chandong, Bota, kira-kira 46 kilometer, dari sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso, berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan pasukan polis yang melakukan tugas Op COVID-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 9 pagi.

"Polis telah merampas bot yang dinaiki suspek bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM 8,500, alat penimbang digital dan plastik disyaki untuk membungkus dadah yang ditemui dalam bot berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang masih bujang itu tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu dan menjadikan bot itu sebagai tempat membungkus dadah.

Barudin berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS150 untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan ujian air kencing ke atas lelaki itu mendapati positif dadah dan dia juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi, pecah rumah dan dadah," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

-- BERNAMA