Polis sedang memburu teman lelaki kepada wanita yang mencampakkan bayinya yang baru lahir dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, di sini, semalam.

Ketua Polis Derah Barat Daya, Suprintendan A A Anbalagan berkata, lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai bapa kepada bayi malang itu dicari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Anbalagan, pihaknya telah menahan ibu bayi berkenaan yang berusia 18 tahun sejurus kejadian.
Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai kini sedang menerima rawatan di hospital Pulau Pinang.

Sementara itu Anbalagan berkata, bayi perempuan yang mengalami kecederaan di kepala kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital sama.

Menurutnya, bayi berkenaan mempunyai kesan luka sepanjang dua sentimeter di bahagian kepalanya dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Dalam kejadian 8 pagi semalam, bayi perempuan itu ditemui penghuni flat selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah.

Siasatan mendapati wanita berkenaan yang melahirkan bayinya tanpa pengetahuan keluarga bertindak mencampak bayi tersebut dari tingkat empat flat tersebut kerana panik dan bimbang diketahui ahli keluarga.