Skip to main content

Malaysia

Polis tahan reman warga asing buat aksi tidak senonoh di Cyberjaya

71750667141_handcuff.jpg
Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada 7.18 malam semalam yang mendakwa melihat lelaki berkenaan melakukan perbuatan tidak senonoh di kawasan taman berkenaan. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga asing berusia awal 20-an direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh di taman permainan berhampiran pasar raya di Cyberjaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada 7.18 malam semalam yang mendakwa melihat lelaki berkenaan melakukan perbuatan tidak senonoh di kawasan taman berkenaan.

"Pengadu mendakwa lelaki berkenaan memasukkan tangan ke dalam seluar dan menggosok kemaluannya sambil merenung ke arah pengadu.

"Bimbang terhadap keselamatan diri, wanita berkenaan mendapatkan bantuan orang awam dan suspek berjaya ditahan oleh beberapa orang awam sebelum diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Norhizam berkata siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali, jika sabit kesalahan.

“Polis memandang serius sebarang perlakuan tidak bermoral yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan ketakutan kepada masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak. Pihak kami juga merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement