Skip to main content

Malaysia

Polis tahan sembilan warga China terlibat sindiket penipuan forex

KUALA LUMPUR, 8 Feb -- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.    -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadil berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi di sebuah unit di tingkat 17 kondominium berkenaan sejak awal Mei dan menyasarkan pelabur dari China sebagai mangsa. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing yang menyasarkan warga China dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Wangsa Maju pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata operasi yang dijalankan pasukan KL Police Strike Force pada 11 pagi itu bertujuan membanteras kegiatan jenayah komersial membabitkan pelaburan palsu.

"Tangkapan melibatkan sembilan lelaki warga China, turut ditahan seorang lelaki tempatan berperanan sebagai penghantar makanan. Semua yang ditahan berusia dalam lingkungan 30-an," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis turut merampas beberapa komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan penipuan itu.

Fadil berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi di sebuah unit di tingkat 17 kondominium berkenaan sejak awal Mei dan menyasarkan pelabur dari China sebagai mangsa.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik yang menyewakan kediaman berkenaan selain ejen atau dalang yang menguruskan kemasukan warga asing terbabit ke negara ini,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing supaya menghubungi Hotline Polis KL di talian 03-21159999 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi serbuan mendapati satu daripada tiga bilik di kondominium itu diubah suai menjadi pusat panggilan yang dilengkapi dengan komputer riba dan pelbagai peralatan komunikasi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement