IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok yang dipercayai tidak bercukai yang dianggar bernilai RM184,800 dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar, petang semalam. 

Polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora, dua unit telefon dan beberapa barang lain.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan daripada Pasukan Polis Marin di Kampung Acheh, Sitiawan dan IPD Perak Tengah telah menjalankan Op Kontraban berkaitan penyeludupan rokok.

“Semasa berada di Jalan Ipoh - Lumut, pasukan tersebut telah ternampak sebuah Proton Exora dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan telah mengekori kenderaan itu sehingga ia berhenti di sebuah rumah di Bandar Universiti yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok seludup,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurutnya, suspek masuk ke dalam rumah dan mengeluarkan beberapa kotak besar lalu memasukkannya ke dalam kenderaan.

Katanya, pasukan tersebut telah menyerbu dan membuat pemeriksaan di dalam kenderaan dan rumah berkenaan,

“Hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah besar kotak-kotak yang mengandungi rokok dipercayai rokok seludup tanpa cukai kastam,” ujarnya.

Mohd Yusri berkata, antara jenis rokok yang dirampas ialah Canyon, Paradox, Zon King dan John dalam 231 kotak besar dengan anggaran 11,550 karton.

Tambahnya, nilai cukai kastam kesemua rokok itu dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.

Menurutnya, suspek, seorang lelaki berusia 43 tahun direman mulai 11 hingga 17 Februari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sindiket yang terlibat.