GEORGE TOWN: Polis menahan reman seorang wanita yang menceroboh ruang solat lelaki di Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi dan melakukan provokasi dengan mendakwa suara bacaan bilal serta imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata wanita warga emas itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dia diserahkan sendiri oleh keluarganya kepada polis di balai berhampiran.

Selain itu katanya, wanita itu akan dirujuk ke pakar psikiatri.

Mengulas lanjut, Razlam berkata, pihaknya menerima tujuh laporan polis berhubung tindakan wanita berkenaan.

Setakat ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

"Kita terima tujuh laporan polis berkenaan kes tersebut, dan kita juga akan merujuk wanita berkenaan kepada pihak psikiatri kerana suspek seperti mempunyai masalah mental sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," Katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita tidak menutup aurat, memasuki ruang solat lelaki di masjid berkenaan dan bertanya kepada seorang jemaah mengapa suara bacaan bilal serta imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan.

Dalam insiden jam 10 malam pada 12 Mac lalu itu, wanita berkenaan datang sendirian dan ketika kebanyakan jemaah sedang melakukan solat sunat witir.

Menurut Pengerusi Kariah Masjid, Ismail Din, ini adalah insiden kali ketiga wanita berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati dengan dua aduan sebelum ini dilakukan menerusi kiriman surat kepada siak masjid.

​Katanya, wanita terbabit mendakwa laungan azan subuh di masjid itu mengganggu jiran yang sedang tidur.