KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita tempatan kerana disyaki memukul dan melemparkan telefon bimbit milik mahasiswi sebuah kolej swasta di Kajang pada Khamis lepas.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira 2 petang itu, suspek berumur 50 tahun telah meminta tolong untuk meminjam telefon bimbit bagi membuat panggilan tetapi mangsa dan rakan memaklumkan mereka sedang menggunakan telefon bimbit untuk menjalankan tugasan kerja pembelajaran.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata tiba-tiba suspek yang berang terus merampas telefon bimbit mangsa dan melemparkannya ke jalan raya sehingga rosak.

Beliau berkata mangsa meminta suspek untuk bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah kerosakan telefon bimbit miliknya di dalam sebuah premis serbaneka berdekatan untuk berbincang.

"Tiba-tiba suspek memegang sebuah buku dan telah memukul muka suspek menggunakan buku berkenaan dan kedua-dua kejadian ini terdapat dalam video yang sempat dirakam oleh rakan mangsa dan telah tular menerusi media sosial.

"Suspek kini direman selama tiga hari hingga 6 Ogos ini dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes Insp Azrul Nizam Zainal Abidin melalui talian 016-9985730 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA