KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan menyiasat program perarakan sekumpulan pemuda sebuah parti politik yang didakwa membawa senjata di Setiu, Jumaat lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata video perarakan tersebut telah tular di media sosial, yang memaparkan kumpulan pemuda itu membawa replika senjata sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran dalam masyarakat.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam program perarakan tersebut dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 17 Feb lepas di sebuah kawasan resort di Setiu. Perarakan itu merupakan salah satu dari acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Pemuda Pas Terengganu sedia beri kerjasama siasatan perarakan bawa replika senjata

Beliau berkata program itu disertai setiap daerah di negeri ini dengan hanya satu kumpulan mengenakan pakaian sambil membawa replika senjata.

Menurut Rohaimi, pihaknya mengetahui mengenai program tersebut, namun tidak dimaklumkan mengenai perarakan membawa replika senjata tersebut.

-- BERNAMA