Pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut mengenai kes seorang pelajar Tingkatan 2 di Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM) Parit yang dibuli oleh lima orang pelajar senior di asrama maktab berkenaan pada minggu lepas.

Dalam kejadian pada 8 Ogos lepas, pihak polis mengesahkan menerima sebuah laporan daripada pelajar dari sebuah sekolah berasrama di Parit yang mendakwa telah dicederakan oleh beberapa orang pelajar senior.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Aziz Hassan berkata dalam laporan kes pergaduhan berkenaan pelajar tersebut mendakwa telah dipukul di tangan dan kaki oleh lima orang pelajar dalam lingkungan umur 15 dan 16 tahun.

"Kejadian tersebut berlaku di dalam bilik asrama pada sekitar jam 1.30 pagi dan punca insiden dipercayai kerana kumpulan tersebut marah dan menuduh mangsa melaporkan kepada pihak sekolah mengenai kegiatan mereka menghisap rokok.

"Justeru, siasatan akan dijalankan oleh pihak polis dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas tindakan merusuh.

"Keterangan kelima-lima pelajar terbabit telah dicatatkan bagi membantu siasatan berhubung dengan kes ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Menurut Aziz, mangsa telah menerima rawatan lanjut di hospital dan mengalami kesan lebam kemerahan pada muka dipercayai berikutan insiden buli berkenaan.

Katanya, pihak polis tidak mereman kesemua lima pelajar di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan telah diberi jaminan polis selepas siasatan.

"Pihak polis masih meneruskan siasatan dan akan mendapatkan laporan perubatan dan kertas siasatan akan dirujuk pada pihak pendakwaraya,"katanya lagi.

Pada 8 Ogos lepas, seorang pelajar Tingkatan Dua dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit telah mengadu dibuli oleh beberapa orang pelajar dan melaporkannya kepada pihak polis.

Difahamkan, mangsa buli berkenaan masih lagi berada di rumah berikutan masih trauma atas kejadian berkenaan dan pihak kaunseling MRSM Parit dipercayai akan memantau perkembangannya.

Sementara itu, kelima-lima pelajar berkenaan kini dipercayai digantung persekolahan selama dua minggu dan keputusan siasatan oleh jawatankuasa kendalian MRSM akan diserahkan kepada Bahagian Pendidikan Menengah bagi tindakan lanjut.