Polis tidak menolak kemungkinan wanita yang didakwa melarikan dua beradik dari sebuah tadika di Petaling Jaya, kelmarin adalah ibu kandung kanak-kanak itu.

Ketua Jabatan Siastaan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai perkara itu.

"Berdasarkan maklumat yang kami terima, kes ini ada kaitan dengan ibu kandung kanak-kanak itu. Ia juga berpunca daripada masalah keluarga.

BACA: Bapa harap dua anak kesayangannya selamat

BACA: Dua beradik mungkin dilarikan individu dikenali - Polis

"Buat masa ini pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dan usaha mengesan wanita itu giat dijalankan," katanya di sini pada Sabtu.

Tambah Fadzil pihaknya kini membuka kertas pertanyaan polis di bawah kes orang hilang bagi mengesan kanak-kanak itu.

"Apa yang menjadi keutamaan polis adalah keselamatan dua kanak-kanak itu. Harap mereka berada dalam keadaan selamat," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan menerima laporan polis berhubung kehilangan dua kanak-kanak itu.

Berita mengenai kehilangan dua kanak-kanak tersebut tular di laman Facebook milik seorang wanita dipercayai ibu saudara mereka.