SUNGAI PETANI: Polis berjaya menggagalkan dua sindiket pengedaran dadah di daerah Kuala Muda dan merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM49,850 pada Selasa.

Tangkapan pertama, pada jam 6.30 petang, dilakukan Unit Peronda Lebuh Raya di sekatan jalan raya (SJR), melibatkan dua suspek lelaki dan rampasan heroin seberat 906.5 gram bernilai RM12,000.

Turut dirampas, sejumlah syabu seberat 0.60 gram dan ganja seberat 1.0 gram beserta peralatan menimbang dan membungkus dadah, kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah dalam satu kenyataan hari ini.

"Dua lelaki tempatan berusia 34 tahun dan 41 tahun ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut," tambahnya.

Adzli berkata, hasil semakan mendapati suspek berusia 34 tahun mempunyai tujuh rekod kesalahan dadah dan satu rekod jenayah manakala seorang lagi mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan penagih tegar dan terlibat dalam aktiviti pengedaran heroin sejak empat bulan lalu.

"Dadah dirampas dipercayai untuk diedarkan di kawasan Sungai Petani,” katanya.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 29 Sept sehingga 5 Okt di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, satu lagi tangkapan, kata Adzli, dilakukan pada hari sama kira-kira jam 7.30 petang.

Ia melibatkan suspek seorang wanita warga tempatan berusia 22 tahun yang ditahan dan 1,051.50 gram dadah jenis syabu bernilai RM37,850 yang dirampas.

Hasil siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja berperanan sebagai pembantu dalam menyimpan bekalan dadah syabu di sebuah rumah sewa di kawasan Laguna Merbok untuk diedarkan di kawasan Sungai Petani,” katanya.

Suspek direman enam hari bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

Kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 39b ADB 1952.