ALOR SETAR:Pemandu dan penumpang kenderaan dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri akan diarah berpatah balik dan dikenakan kompaun serta-merta sebaik memasuki Plaza Tol Alor Setar Utara.

Arahan itu diberikan Polis Kedah terhadap individu yang cuba memasuki negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, tindakan tegas ini terpaksa dilakukan pihaknya setelah mengambil pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPD) serta PKP tahun lalu di mana ramai di antara mereka yang datang ataupun pulang membawa virus COVID-19.

"Bagi mana-mana individu yang tidak mempunyai kebenaran untuk merentas negeri, tindakan tegas arahan patah balik akan diambil.

"Walaupun arahan patah balik diambil, kesalahan tetap berlaku dan mereka akan dikenakan kompaun," kata Ahmad Shukri.

Terdahulu Ahmad Shukri melakukan tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Alor Setar Utara, malam tadi.

Katanya, sepanjang PKPB, pihaknya telah mengaktifkan tiga SJR di laluan Plaza Tol Alor Setar Selatan, Plaza Tol Alor Setar Utara dan di laluan masuk melalui Kepala Batas.

Dalam pada itu beliau memaklumkan cuti semua pegawai dan anggotanya dibekukan untuk tempoh PKPB ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari berkuat kuasa tengah malam tadi.

Manakala enam negeri lagi -- Pahang, Perak, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan -- dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan kes COVID-19.