JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan katrij rokok elektronik atau vape selepas merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10.68 juta dalam operasi di sekitar Johor pada 2 Ogos lepas.
Timbalan Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata operasi bermula pada 11 pagi itu dilancarkan di lima lokasi berasingan di Johor Bahru, Kulai dan Muar, serta turut menahan lima lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing serta seorang wanita warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditahan dalam serbuan pertama di sebuah stesen minyak di hentian rehat dan rawat di Kulai.
“Polis merampas 9,000 katrij rokok elektronik mengandungi cecair methamphetamine hasil pemeriksaan ke atas kereta Honda BR-V dinaiki suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Hoo berkata serbuan kedua pula dijalankan di sebuah kondominium yang dijadikan tempat pembungkusan dan pengisian katrij rokok elektronik di Bandar Medini, Iskandar Puteri dengan seorang lelaki warga asing ditahan.
Turut dirampas ialah 47 botol plastik mengandungi rokok elektronik, satu botol kaca berisi 127.55 liter cecair methamphetamine, dua peket plastik disyaki kokain, satu peket plastik ketamin dan sebuah mesin mengisi cecair rokok elektronik.
Serbuan ketiga pula dijalankan di sebuah rumah di Taman Sutera Utama dengan seorang lelaki tempatan ditahan bersama dua peket plastik heroin, 20 biji pil erimin 5 dan 53 biji pil ekstasi.
Hoo berkata serbuan keempat dan kelima pula masing-masing dijalankan di kawasan Mutiara Rini di sini dan parkir stesen minyak di Tanjung Agas, Muar dengan tiga lelaki tempatan termasuk “perancang” ditahan, sekali gus memaklumkan sebanyak 210.43 kilogram dadah dirampas dalam kesemua serbuan itu.
Beliau berkata individu yang ditahan dalam operasi itu mempunyai peranan masing-masing dengan sindiket dipercayai aktif sejak Februari lepas.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kondominium sebagai tempat pembungkusan dan pengisian rokok elektronik berisi dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Ujian air kencing mendapati dua individu positif methamphetamine manakala semakan mendapati empat individu mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah,” katanya.
Hoo berkata kesemua individu itu direman selama seminggu bermula 3 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA