MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka, Adly Zahari mengesahkan pertemuan di antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan Negeri Melaka.

Difahamkan pertemuan berkenaan dibuat selepas keempat-empat bekas ADUN itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Terima kasih kepada YB Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi melapangkan masa bersama teman-teman ADUN yang menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.

"Banyak perkara dibincangkan terutama kepincangan kerajaan sedia ada.

"Isu tambakan laut, rebutan konsesi pasir, agihan kebajikan berasaskan politik kepartian, kelemahan membuat keputusan di mesyuarat kerajaan negeri, dasar tanah yang memihak, salah guna kuasa melampau dan banyak lagi kerakusan kuasa," jelas Adly menerusi entri terbaharu di akaun Facebooknya.

 
Sumber Facebook AdlyZahariOfficial

"UMNO tidak pernah mahu belajar dari sejarah lampau.

"Semua ini berlaku di kala kita hadapi COVID-19 dan ekonomi terburuk dalam sejarah Melaka dan Malaysia," jelasnya lagi.

Sebelum ini, tular di laman sosial gambar memaparkan pertemuan empat bekas ADUN berkenaan bersama Anwar Ibrahim dan Adly Zahari.

Empat bekas ADUN tersebut ialah ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad; dan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.