KUALA LUMPUR: Biarpun dari satu segi, pergolakan politik yang berlaku di Melaka mungkin dianggap rakyat menjemukan, namun ia harus dilihat pada kerangka yang lebih luas iaitu dari aspek kepimpinan dan politik dalaman.

Felo Kursi Institusi Raja Raja Melayu UiTM, Mujibu Abd Muis berkata, jika situasi yang berlaku ketika ini mampu memberi kestabilan, ia harus diterima sebagai perkembangan yang baik untuk negeri itu.

"Isunya ialah bagaimana nak selesaikan, separuh jalan nampak ia telah diselesaikan dengan baik (apabila) Ketua Menteri meletak jawatan secara terhormat.

"Paling penting sekarang ialah bagaimana kepimpinan baharu ini akan mencorak politik Melaka, dalam konteks Barisan Nasional dan UMNO perlu memenangi hati kembali hati pengundi Melayu.

"Walaupun bukan pilihan raya negeri tetapi apa yang berlaku mungkin beri impak positif dan spill over kepada pilihan raya negeri di negeri lain," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Isu pertukaran pemimpin negeri Melaka mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar BN pada PRN negeri itu yang diadakan pada 20 November 2021.

UMNO telah mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan Melaka parti itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Terdahulu, nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh turut disebut bakal menjadi calon.

"Kalau dilihat pada aspek neutral, jika kita nak tengok kepimpinan diberi kepada mereka yang baharu dan segar, Dr Muhamad Akmal sosok paling menarik.

"Tetapi walaupun beliau ada rekod yang baik dan populariti cemerlang, tetapi saya melihat ia tidak boleh berlaku memandangkan isu ini ada perkaitan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan bekas Ketua Menteri yang lalu.

"Kalau dilihat pada hierarki, Datuk Seri Ab Rauf akan menjadi Ketua Menteri memandangkan pengalaman dan hubungan baik beliau dengan Datuk Seri Ahmad Zahid," jelas Mujibu lagi.

Angkat sumpah jawatan Ketua Menteri baharu esok