MALAYSIA
Pondok Pesantren Lirboyo Indonesia jadi tuan rumah Forum Malaysia MADANI

Forum itu itu antara lain membincangkan nilai-nilai murni yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara bangsa. - Gambar Bernama
SURABAYA: Pondok Pesantren Lirboyo, antara institusi pendidikan Islam terbesar di Indonesia menjadi tuan rumah "Forum Malaysia Madani dan Fikih Kebangsaan" di sini, pada Ahad.
Forum anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia itu antara lain membincangkan nilai-nilai murni yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara bangsa selaras gagasan Malaysia Madani di Malaysia dan Fikih Kebangsaan di Indonesia.
Setiausaha Pertama Hal Ehwal Agama Kedutaan, Mohd Shamsuri Ghazali bertindak sebagai moderator dengan panel utama terdiri daripada Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dan Pensyarah di Ma'had Aly Lirboyo, Hamim Hidhori.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berharap forum itu dapat memperkukuh konsep Malaysia Madani dan Fikih Kebangsaan sebagai model pembangunan negara berteraskan nilai kemanusiaan sejagat dalam keseimbangan rohani dan material."Saya berharap agar kerjasama antara Pondok Pesantren Lirboyo dan universiti di Malaysia diperluas," katanya yang turut menghadiri forum itu.
Kehadiran Syed Mohamad Hasrin turut diraikan oleh 48 pelajar Malaysia di Pondok Pesantren Lirboyo bersama lapan lagi yang menuntut di dua pondok sekitar Kediri.
Terletak di Kediri, Jawa Timur, Pondok Pesantren Lirboyo yang berusia lebih 100 tahun menempatkan lebih 55,000 pelajar dan menjadi gelanggang perbincangan bernas, memperkukuh hubungan antara rakyat dan meninjau peluang kerjasama strategik dalam membina sebuah rantau yang makmur, stabil dan berdaya saing.
Kini, seramai 10 pelajar Pondok Pesantren Lirboyo sedang melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia.
Sementara itu, Ketua Umum Pondok Pesantren Lirboyo, Agus HM Adibussholeh Anwar berkata, hubungan dengan Malaysia telah bermula sejak 1960-an apabila puluhan pelajar negara itu menimba ilmu di situ.
"Harapan kami, alumni Lirboyo (Pondok Pesantren Lirboyo) dari Malaysia dapat terus berkhidmat dalam pendidikan dan sektor lain di tanah air mereka," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami