KUALA LUMPUR: Pos Malaysia giat meningkatkan kapasitinya untuk menguruskan lonjakan permintaan terhadap perkhidmatannya dengan berkesan, yang didorong oleh pertumbuhan e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Charles Brewer berkata, Pos Malaysia memantau prestasi perkhidmatannya setiap hari untuk memastikan pengalaman pelanggan yang lancar.

"Pada tahun lepas, kami secara konsisten telah mencapai lebih 90 peratus daripada komitmen penghantaran Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) kami.

"Pada Jun 2023, penghantaran bungkusan pada hari berikutnya mencapai 92 peratus daripada komitmen penghantaran manakala penghantaran mel mencapai 97 peratus," katanya.

Prestasinya yang menggalakkan itu turut dicerminkan dalam Kajian Cabaran Kurier yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2022, apabila Pos Malaysia mencapai 96 peratus untuk prestasi penghantaran dijamin berbanding purata industri sebanyak 78 peratus dan 91 peratus untuk kebolehpercayaan berbanding purata industri sebanyak 83 peratus.

Brewer berkata penggunaan kemajuan teknologi yang pesat mewujudkan peluang baharu untuk Pos Malaysia, terutamanya dengan pertumbuhan e-dagang yang pesat.

"Penghantaran bungkusan bukan hanya mengenai kecekapan, ia turut memerlukan kemampanan dan pelanggan yang celik teknologi hari ini mengharapkan perkhidmatan yang lebih berdaya maju, berkualiti tinggi dan perkhidmatan digital ke pintu," katanya.

Beliau berkata Pos Malaysia telah menunjukkan prestasi yang membanggakan melangkaui sasaran Universal Postal Union, mencapai lebih 90 peratus dalam pelbagai kategori, termasuk Mel Antarabangsa, Perkhidmatan Mel Ekspres dan Bungkusan pada suku kedua 2023.

Dengan sejarah selama lebih 200 tahun, Pos Malaysia telah berkembang daripada hanya menjadi syarikat perkhidmatan pos konvensional yang terlibat dalam penghantaran mel dan bungkusan kepada penyedia produk dan perkhidmatan runcit, logistik dan penerbangan yang dinamik.

Setakat ini, Pos Malaysia mempunyai capaian jarak jauh yang paling luas, membuat penghantaran ke lebih 11 juta alamat di seluruh negara dengan lebih 15,000 kakitangan, 633 pejabat pos dan lebih 3,800 pusat runcit.

Kumpulan tersebut menyasarkan untuk terus meningkatkan asas pelanggannya dengan membantu perniagaan menghantar barangan kepada pengguna dengan cekap, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi mereka secara keseluruhan.

"Selain menyampaikan perkhidmatan mel dan bungkusan secara menyeluruh, kami turut melengkapkan individu, perusahaan kecil dan sederhana, organisasi besar dan komuniti dengan kaedah dan penyelesaian untuk memacu pertumbuhan dan memenuhi keperluan mereka," kata Brewer.

Beliau berkata Pos Malaysia juga menyediakan perkhidmatan pemenuhan yang menyeluruh kepada pelanggan perniagaan melalui Pos Fulfill, daripada 'first mile' (logistik penghantaran) hingga 'mid mile' (pergudangan dan pemenuhan pesanan) hingga 'last mile' (penghantaran terakhir).

Bagi kekal berdaya saing, Pos Malaysia telah merangka strategi untuk meningkatkan aliran pendapatannya melalui kerjasama dengan pihak ketiga, menawarkan hasil yang lebih besar bagi setiap jumlah pengunjung.

"Strategi runcit Pos Malaysia menyasarkan untuk memacu jumlah pengunjung ke 633 cawangan pejabat posnya, memanfaatkan lebih 3.2 juta kaki persegi ruang runcit dengan menukar ruang yang ada kepada kedai runcit/kesihatan," katanya.

Pada Mei, Pos Malaysia membuka kedai serbaneka pertamanya, Pos Shop, sebuah pusat runcit sehenti untuk pelanggan di Pejabat Pos Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dan kumpulan itu merancang untuk membuka lebih banyak Pos Shop, memberi tumpuan kepada kawasan kediaman dan luar bandar.

Ia turut bekerjasama dengan Cafe Mesra dan ZUS Coffee, apabila pelanggan yang menggunakan perkhidmatan pos di lokasi terpilih akan dapat menikmati makanan dan minuman pada masa yang sama.

Mengenai masa depan, Brewer berkata Pos Malaysia kekal komited untuk menggalakkan kelestarian dalam mengguna pakai dan mentransformasikan perniagaannya untuk masa depan yang lebih mesra alam.

"Pada Mac lepas, kami melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Pos Malaysia, yang menggariskan pelan untuk mengurangkan jejak alam sekitar kami; menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih bagi operasi kami menjelang 2050," katanya.

Inisiatif itu merangkumi kaedah penghantaran, pengoptimuman kenderaan, bangunan hijau, pengurusan sisa, pembungkusan mampan dan pembelajaran digital, selain Pos Malaysia komited untuk mencapai pengurangan 30 peratus dalam skop satu dan skop dua untuk pelepasan menjelang 2025.

Kumpulan turut merancang untuk memastikan kadar kitar semula sisa operasi sebanyak 50 peratus, 80 peratus bahan kitar semula atau bahan boleh diperbaharui untuk semua pembungkusan dan 50 peratus latihan dilakukan secara digital.

"Pada masa ini, kami mempunyai stesen pengecas kenderaan elektrik di enam pejabat Pos Malaysia di seluruh negara dan memiliki 105 e-Bike di jalan raya dan panel solar di tiga fasiliti.

"Menjelang 2025, sebanyak 28 peratus daripada keseluruhan kenderaan akan menggunakan tenaga elektrik dan mencapai tahap 100 peratus menjelang 2030," kata Brewer.

-- BERNAMA