Postal Forum perkenal Kod Amalan Perkidmatan Pos, perkasa perlindungan pengguna industri kurier

Postal Forum mula aktif menjalankan fungsinya secara menyeluruh sejak 2022.
SHAH ALAM: Postal Forum, sebuah badan kawal selia kendiri yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, terus memperkukuh peranannya dalam memantau industri pos dan kurier demi kepentingan pengguna.
Menurut ketuanya, Hafizah Hanifah, Postal Forum mula aktif menjalankan fungsinya secara menyeluruh sejak 2022.
“Postal Forum berperanan mempromosikan kawal seliaan kendiri kepada syarikat-syarikat kurier serta memberi maklum balas dan syor kepada MCMC bagi apa-apa perkara melibatkan pengguna industri postal dan kurier,” katanya.
Hafizah berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada acara sambutan Hari Kurier Negara 2025 di sini, pada Sabtu.
Antara fungsi utama Postal Forum ialah bertindak sebagai pengendali aduan peringkat kedua sekiranya pengguna tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan oleh syarikat kurier.
“Dalam kes sedemikian, Postal Forum akan meneliti bukti daripada kedua-dua pihak dan bertindak sebagai pengantara bagi mencari penyelesaian yang adil.
“Selain itu, Postal Forum turut giat menjalankan aktiviti advokasi bagi meningkatkan kesedaran pengguna mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam menggunakan perkhidmatan pos dan kurier, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian melalui media sosial dan kerjasama dengan rakan media,” katanya.
Menurut Hafizah, Postal Forum telah membangunkan Kod Amalan Perkhidmatan Pos ( Code of Practice for Postal Services (CPPS)) dan mendapat kelulusan MCMC pada Disember tahun lalu.
Kod ini menetapkan standard minimum untuk dipenuhi pemain industri dan menggalakkan kualiti perkhidmatan yang konsisten, perlindungan pengguna dan kebajikan pekerja di seluruh industri - memastikan piawaian yang lebih tinggi dan kepercayaan jangka panjang dalam kalangan pengguna dan penyedia perkhidmatan pos dan kurier.
Pelancaran rasmi kod tersebut telah berlangsung sempena sambutan Hari Kurier Negara 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


