KUALA LUMPUR: Potensi debu gunung berapi Anak Krakatau untuk sampai ke Malaysia ketika ini masih berada pada tahap rendah.
Timbalan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ramlan Ab. Rahman berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan analisis arah dan kelajuan angin semasa serta pemantauan pergerakan debu gunung berapi.
Bagaimanapun jelasnya, kemungkinan debu berkenaan sampai ke rantau negara tidak boleh diketepikan sepenuhnya sekiranya berlaku perubahan arah dan kelajuan angin.
“Berdasarkan analisis arah dan kelajuan angin semasa serta pemantauan pergerakan debu gunung berapi, potensi debu gunung berapi tersebut untuk sampai ke rantau negara kita masih pada tahap yang rendah.
“Tetapi kita tidak boleh menidakkan sekiranya berlaku perubahan arah, kelajuan angin dan juga kemungkinan letusan susulan, ia boleh mempengaruhi pergerakan debu gunung berapi tersebut ke rantau negara,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ujar Ramlan, MetMalaysia akan terus memantau perkembangan itu menerusi data satelit serta analisis keadaan atmosfera.
Tambahnya, maklumat terkini juga akan disalurkan kepada orang ramai sekiranya terdapat peningkatan potensi pergerakan debu gunung berapi ke rantau Malaysia.
Gunung Anak Krakatau kembali meletus awal Rabu ketika aktiviti gunung berapi yang terletak di Selat Sunda itu terus berlanjutan susulan beberapa letusan baru-baru ini.
Pusat Vulkanalogi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) memaklumkan, letusan berlaku pada 12.47 pagi waktu tempatan dan direkodkan selama 28 saat dengan amplitud seismik maksimum 51 milimeter, manakala ketinggian letusan tidak dapat diperhatikan.