Skip to main content

Malaysia

P.Pinang ambil langkah atasi isu pencemaran sisa kumbahan ladang babi di Kg Selamat

BUTTERWORTH, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil beberapa langkah bagi menangani isu pencemaran kumbahan dari ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini termasuk sisa kumbahan wajib dihantar ke loji biogas di Ampang Jajar, di sini.
Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil beberapa langkah bagi menangani isu pencemaran kumbahan dari ladang ternakan babi di Kampung Selamat. -Gambar hiasan
Advertisement

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil beberapa langkah bagi menangani isu pencemaran kumbahan dari ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini termasuk sisa kumbahan wajib dihantar ke loji biogas di Ampang Jajar, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H'ng Mooi Lye berkata langkah itu merupakan antara inisiatif bagi memastikan sisa kumbahan dari ladang ternakan tidak dilepaskan secara terus ke parit atau sungai di kawasan tersebut.

"Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu pada April lepas dan kerajaan negeri telah mewajibkan semua ladang ternakan babi di Kampung Selamat menghantar sisa kumbahan ke loji biogas di Ampang Jajar sejak Mei lepas.

"Pemantauan pula dilakukan setiap minggu oleh JPV. Sekiranya terdapat aduan, pegawai akan turun menjalankan siasatan. Pemeriksaan mengejut turut dilakukan walaupun tiada aduan, dan mendapati tiada ladang ternakan di situ yang membuang sisa kumbahan terus ke parit atau sungai," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian SkyGate NHJ Technology Sdn Bhd, di Perai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media desakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mahu kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani isu pencemaran kumbahan ladang babi di Kampung Selamat di sini, yang didakwa membebankan penduduk setempat sejak berpuluh-puluh tahun.

Wan Saiful dilaporkan berkata pihaknya bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Tasek Gelugor kini berusaha mengumpul bukti saintifik berhubung pencemaran dan pengambilan sampel dilakukan di kawasan Parit Cina.

H'ng berkata kerajaan negeri turut mengambil kira masalah mendapan dan sisa kumbahan lama yang terkumpul di kawasan itu dan selepas proses pembersihan sisa lama itu selesai, kerajaan negeri bercadang menyediakan peruntukan bagi membolehkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kerja-kerja pembersihan mendapan di parit tersebut.

Beliau berkata usaha itu akan menggunakan kaedah sama seperti yang dilaksanakan di kawasan Kampung Valdor, di Sungai Bakap dekat sini yang menunjukkan keadaan sungai bertambah baik selepas kerja-kerja pembersihan mendapan dijalankan serta pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkatkan.

"Kita sekarang mengambil langkah untuk membantu membersihkan dan memulihkan kawasan tersebut supaya keadaan persekitaran penduduk khususnya komuniti yang tinggal berhampiran Kampung Selamat, dapat diperbaiki," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana penternak yang melanggar syarat termasuk melepaskan sisa kumbahan secara terus ke parit atau sungai.

Tindakan saman akan dikeluarkan terhadap mereka yang didapati berbuat demikian manakala kes akan dibawa ke mahkamah supaya tindakan lebih tegas dapat diambil, katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement