Skip to main content

Malaysia

Agensi Nuklear Malaysia salur RM500,000 bangunkan Kampung Angkat MADANI di Machang

Muhammad Rawi (kanan) pada majlis peluncuran Kampung Angkat MADANI agensi itu di Kampung Pemanok, Batu 31 hari ini. - Gambar Bernama
Muhammad Rawi (kanan) pada majlis peluncuran Kampung Angkat MADANI agensi itu di Kampung Pemanok, Batu 31 hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

MACHANG: Agensi Nuklear Malaysia memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan beberapa projek penambahbaikan kemudahan awam dan keceriaan Kampung Pemanok, Batu 31, di sini, menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI 2026.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan itu membolehkan beberapa kemudahan asas di kampung berkenaan ditambah baik bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

Beliau berkata antara projek yang dilaksanakan ialah penambahbaikan sistem saliran, pembaikan laluan dan pembetung serta pelebaran jalan masuk ke tanah perkuburan oleh Majlis Daerah Machang.

“Selain itu, pelaksanaan projek keceriaan kampung oleh Madrasah Haji Ismail merangkumi pembaikan pagar tanah perkuburan, pembinaan wakaf, penggerudian sumber air, pemasangan lampu solar dan penyediaan mercu tanda Kampung Angkat MADANI,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kampung Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia di Kampung Pemanok, Batu 31, di sini hari ini.

Muhammad Rawi berkata penambahbaikan itu diharap dapat membantu menangani masalah perparitan, memudahkan pergerakan penduduk serta meningkatkan pencahayaan dan keselamatan di kawasan kampung.

Beliau berkata penyediaan sumber air tambahan juga berpotensi membantu memenuhi keperluan penduduk, khususnya ketika musim kemarau, manakala wakaf yang dibina boleh dimanfaatkan untuk aktiviti kemasyarakatan.

Dalam pada itu, Muhammad Rawi berkata teknologi nuklear bukan sahaja digunakan dalam bidang perubatan dan perindustrian, malah turut mempunyai aplikasi dalam pertanian, keselamatan makanan dan penjagaan alam sekitar.

Agensi Nuklear Malaysia, katanya, telah membangunkan varieti padi baharu yang berpotensi meningkatkan hasil pengeluaran serta mempunyai daya tahan lebih baik terhadap keadaan persekitaran dan penyakit tanaman.

Selain itu, agensi berkenaan turut membangunkan produk seperti biobaja Bioliquifert dan oligochitosan bagi membantu meningkatkan kesuburan tanah, penyerapan nutrien serta pertumbuhan tanaman, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap input kimia dalam pertanian.

Muhammad Rawi berkata penyelidikan tanaman ubi kayu turut menghasilkan baka baharu yang berpotensi dituai dalam tempoh enam bulan berbanding kira-kira 11 hingga 12 bulan bagi varieti tempatan tertentu.

Beliau berkata usaha memperkenalkan aplikasi teknologi nuklear kepada masyarakat merupakan sebahagian daripada komitmen agensi itu untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai terhadap sains dan teknologi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement