BUKIT MERTAJAM: Dua venue di bahagian pulau telah dikenal pasti bagi penganjuran enam acara Sukan SEA 2027 di Pulau Pinang, dengan tahap kesiapsiagaan negeri itu kini mencapai 85 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi berkata bagaimanapun, pengumuman rasmi tentang venue berkenaan akan dibuat kemudian bersama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027.
“Kini, kita dalam 85 peratus persediaan dan berbanding negeri penganjur lain, mungkin kita lebih mudah kerana venue sudah sedia ada. Kita tidak melibatkan sebarang pembinaan venue baharu, cuma perlu melihat aspek logistik, pengurusan dan sebagainya.
"Saya yakin kita berada di landasan yang baik dan dapat mengikuti garis masa yang diberikan bagi memastikan penganjuran Sukan SEA di Pulau Pinang berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Pulau Pinang dan Program MADANI Kita (PMK) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Lalang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) Mozakir Buyong Mokhtar dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang Harry Chai.
Gooi berkata beberapa perkara berkaitan venue termasuk rundingan harga masih diperincikan, tetapi dari segi fizikal, kemudahan berkenaan sudah sedia untuk digunakan dengan Pulau Pinang bersedia untuk menjadi tuan rumah pada bila-bila masa.
Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung dari 18 Sept hingga 29 Sept dengan Pulau Pinang menjadi tuan rumah bagi enam sukan, iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong serta floorball.
Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing akan menganjurkan 18 sukan, manakala Johor menjadi tuan rumah bagi bola sepak.
Terdahulu, lebih 4,000 peserta menyertai sambutan HSN yang bermula pada 7 pagi itu dengan pelbagai aktiviti termasuk larian, senamrobik, bola pikel dan bengkel bola sepak serta acara sukan melibatkan kanak-kanak Tabika KEMAS.
PMK pula menghimpunkan lebih 30 agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada penduduk setempat termasuk saringan kesihatan, program pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jualan Rahmah MADANI.
– BERNAMA