Skip to main content

Malaysia

PPM rampas 7,000kg karkas babi di jeti haram Sungai Merbok

Karkas babi yang disyaki diseludup melalui jalan laut. - FOTO: Polis Marin
Karkas babi yang disyaki diseludup melalui jalan laut. - Gambar/ PPM

GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas tujuh tan karkas daging babi dalam serbuan di sebuah jeti haram di Sungai Merbok, Kedah, semalam.

Komander PPM Wilayah Satu ACP Jaffri Bidin berkata operasi pada 2 pagi itu menahan tujuh lelaki tempatan yang disyaki memindah dan mengangkut karkas daging babi tanpa permit. 

Advertisement

Beliau berkata serbuan dilakukan Unit Risikan Marin (URM) yang menjalankan Ops Taring Landai dan Ops Taring Gelora di sekitar kawasan perairan Tanjung Dawai hasil maklumat serta risikan.

“Siasatan awal mendapati karkas itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui laluan laut sebelum dipindahkan ke darat untuk edaran tempatan.

“Semua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi menjalankan aktiviti itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jaffri selain karkas daging babi, turut dirampas ialah dua lori sejuk beku, sebuah bot fiber 40 kaki tanpa nombor pendaftaran, tiga unit enjin Yamaha 250 kuasa kuda dan tiga jambak kunci dengan nilai rampasan dianggarkan RM795,100.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan diserahkan kepada JPV Kedah untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video