Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)(PPPM-PT) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi negara untuk bersaing di peringkat global.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelan yang menggariskan 10 lonjakan itu mampu mewujudkan modal insan yang dikategorikan sebagai 3B iaitu berbakat, bertaraf global dan berteraskan nilai positif.

"Saya yakin pelan ini akan memangkin transformasi dan ia boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk negara Malaysia," katanya ketika berucap melancarkan PPPM-PT di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib berkata PPPM-PT menumpukan kepada penjanaan pelajar berbakat yang penting bagi sesebuah negara dalam mengekalkan kejayaannya.

Najib berkata usaha melahirkan pelajar bertaraf global pula akan menempatkan Malaysia sebagai antara sebuah negara terbaik di dunia.

Beliau menegaskan bahawa pelajar yang berteraskan nilai positif dari segi rohaniah, moral, etika dan kekuatan akan menonjolkan identiti nasional selari dengan kemajuan negara.

Perdana Menteri menegaskan apa yang perlu dijauhi ialah ilmu yang dipelajari tidak digunakan untuk kebaikan.

"Contoh yang paling ekstrem, ada dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kelulusan tinggi tetapi menggunakan ilmu yang ada untuk membuat bom," katanya sambil menambah negara perlu mempunyai pelajar yang berciri positif.

Dalam pada itu, Najib berkata menerusi lonjakan kemampanan kewangan, pihak universiti di negara ini perlu mencari sumber kewangannya sendiri dan tidak terlalu mengharapkan peruntukan tambahan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, Najib berkata kerajaan akan menimbangkan pemberian bajet tambahan kepada universiti yang menunjukkan prestasi tinggi.

Beliau seterusnya berkata pihak universiti perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan terutama dalam memastikan kebolehpasaran graduan mereka.

Najib turut berkata kerajaan menyediakan peruntukan sewajarnya untuk perbelanjaan pendidikan tinggi dan latihan, antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dan beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan.