Pakatan Rakyat yakin dengan kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengetuai pimpinan kerajaan negeri itu meskipun terdapat desas-desus bahawa Khalid akan bertanding untuk kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berkata rakyat di Selangor kini lebih yakin dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat dibawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid.

“Kita percaya dengan prestasi Tan Sri Abdul Khalid dan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor terutama dari aspek urus tadbir ekonomi dan pentadbiran yang begitu efektif dan berkesan. Oleh yang demikian, fokus utama kita sekarang adalah bukan sahaja untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi sewaktu pilihan raya pada tahun 2008 malah memastikan kejayaan besar Pakatan Rakyat pada pilihan raya kali ini ” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini tadi.

Jentera pilihan raya parti tersebut turut dipastikan menjalani persiapan yang kuat dan mantap agar dapat memperoleh kemenangan yang jitu.

Apabila ditanya samada beliau akan menjadi Menteri Besar Selangor yang akan datang seandainya Pakatan Rakyat memenangi majoriti kerusi di negeri itu, beliau menjawab perkara tersebut akan ditentukan selepas Pakatan menang terlebih dahulu.

“Perkara ini hanya akan dapat ditentukan selepas kita berjaya memenangi pilihan raya ini,” kata beliau lagi.

Pakatan Rakyat menang 34 kerusi di Selangor mengalahkan Barisan Nasional yang mendapat 21 kerusi pada pilihan raya yang lalu.