KANGAR: Prasarana bagi lapan kawasan pelancongan di Perlis perlu dinaik taraf dalam usaha menarik minat pelancong untuk mengunjungi lokasi itu serta memberikan keselesaan kepada mereka sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, untuk itu kerajaan negeri memerlukan sokongan peruntukan daripada Kerajaan Pusat kira-kira RM4 juta bagi kerja menaik taraf infrastruktur pelancongan itu.

"Perlis memerlukan peruntukan ini untuk menaik taraf lapan kawasan tarikan pelancong antaranya membesarkan jalan dan membuat tempat letak kenderaan lebih baik di kawasan view point Wang Kelian selain membesarkan jalan di Kebun Anggur, Bintong dan jalan menuju ke Pavilion Padang Besar agar memudahkan orang ramai berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, pada Selasa.

Mohd Shukri berkata, pihaknya telah membuat permohonan untuk peruntukan menaik taraf prasarana di kawasan pelancongan itu kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada tahun lepas dan mengharapkan kerajaan dapat memberikan kelulusan segera demi meningkatkan lagi sektor pelancongan di Perlis.

Sementara itu, beliau mengharapkan MOTAC dapat memberikan peruntukan khas sekurang-kurangnya RM500,000 untuk penganjuran Pesta Angin Timur 2024 di Perlis yang merupakan antara program yang terkandung dalam kalendar Tahun Melawat Perlis itu.

"Sekiranya MOTAC dapat memberikan peruntukan khas ini, jadinya kita bolehlah tambah bilangan hari penganjuran Pesta Angin Timur dari tiga hari (pada tahun lepas) ke lima hari pada tahun ini," katanya.
- BERNAMA