Skip to main content

Dunia

Pakar forensik dakwa Epstein mungkin dibunuh

Freeman berkata beliau percaya Epstein mungkin dicekik menggunakan jerut sebelum mayatnya digantung pada katil dalam sel tahanan. - Foto fail/REUTERS
Freeman berkata beliau percaya Epstein mungkin dicekik menggunakan jerut sebelum mayatnya digantung pada katil dalam sel tahanan. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Pakar forensik AS dakwa Jeffrey Epstein mungkin dibunuh, mencabar keputusan rasmi mengenai kematiannya.
  • Michael Freeman berkata kecederaan pada tubuh Epstein menunjukkan kemungkinan berlaku serangan sebelum kematiannya.
  • Pihak berkuasa New York kekal mempertahankan penemuan asal bahawa Epstein meninggal dunia akibat gantung diri.
Advertisement

LONDON: Seorang pakar forensik Amerika Syarikat (AS) mendakwa kematian pesalah seks Jeffrey Epstein pada 2019 berkemungkinan akibat pembunuhan, sekali gus mencabar keputusan rasmi yang sebelum ini mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh diri.

Menurut laporan BBC, Profesor Michael Freeman berkata penilaiannya terhadap fail bedah siasat dan gambar yang disediakan oleh Pejabat Pemeriksa Perubatan New York menunjukkan kecederaan yang dialami Epstein lebih konsisten dengan perbuatan dicekik berbanding gantung diri.

Freeman, yang pernah bertindak sebagai pakar punca kematian dalam beberapa kes berprofil tinggi di AS termasuk kematian George Floyd, berkata beliau percaya Epstein mungkin dicekik menggunakan jerut sebelum mayatnya digantung pada katil dalam sel tahanan.

Advertisement

Beliau membentangkan hasil penemuannya di London pada Isnin sebelum menerbitkan kajian serta dokumen berkaitan yang digunakan dalam analisis berkenaan.

Freeman berkata, antara petunjuk yang menimbulkan keraguan terhadap keputusan rasmi ialah pendarahan yang ketara pada bahu kiri Epstein serta kecederaan pada muka yang menurutnya boleh menunjukkan berlaku serangan fizikal.

Advertisement

Dalam wawancara dengan program Newsnight terbitan BBC, beliau turut mendakwa terdapat kesan yang menyerupai calar kuku di bahagian atas kesan jerutan pada leher Epstein.

Menurutnya, keadaan itu selari dengan situasi mangsa cuba menanggalkan jerut ketika dicekik, khususnya jika serangan dilakukan dari arah belakang.

"Kecederaan yang ditemui pada tubuh Epstein tidak selari dengan keadaan mayat ketika ditemui. Berdasarkan ketidakselarasan itu, saya berpendapat kematiannya berkemungkinan berpunca daripada pembunuhan," katanya.

Bagaimanapun, Freeman mengakui beliau tidak memeriksa mayat Epstein secara langsung.

Kesimpulannya dibuat berdasarkan dokumen serta gambar bedah siasat yang diperoleh daripada adik Epstein, Mark Epstein, yang sejak sekian lama mempertikaikan keputusan rasmi mengenai kematian abangnya.

Beliau juga menegaskan kajian tersebut dilakukan secara bebas dan tanpa menerima bayaran daripada Mark Epstein.

Namun, kajian itu belum melalui proses semakan ilmiah oleh pakar lain.

Pada 2019, Ketua Pemeriksa Perubatan New York ketika itu, Dr Barbara Sampson, memutuskan bahawa kematian Epstein adalah akibat bunuh diri selepas jutawan berusia 66 tahun itu ditemui mati dalam selnya di Metropolitan Correctional Center, New York.

Sampson sebelum ini mempertahankan keputusan berkenaan dan menegaskan beliau tetap yakin dengan penentuan punca serta cara kematian Epstein.

Pakar patologi yang menjalankan bedah siasat asal berkata dapatan kecederaan pada tubuh Epstein lebih menyokong kesimpulan bahawa kematiannya berpunca daripada gantung diri, bukannya akibat dicekik.

Beliau juga tidak menemui bukti kecederaan mempertahankan diri yang lazim dikaitkan dengan mangsa serangan.

Freeman turut mempersoalkan ketiadaan gambar yang menunjukkan keadaan mayat ketika pertama kali ditemui.

Namun, laporan DoJ menyatakan pengawal penjara yang menemui Epstein segera menurunkannya dan cuba memberikan bantuan kecemasan.

Epstein ditemui mati pada 10 Ogos 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan mengendalikan rangkaian eksploitasi seks melibatkan remaja bawah umur.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pihak yang bertanggungjawab jika tafsirannya benar, Freeman berkata beliau tidak mempunyai sebarang pandangan mengenai perkara itu.

"Itu bukan sebahagian daripada penyiasatan yang saya lakukan dan saya tidak mempunyai pendapat mengenainya," katanya.

Freeman turut menolak dakwaan bahawa pandangannya bersandarkan teori konspirasi.

Menurut beliau, semua pihak seharusnya diberi peluang meneliti bukti yang sama dan menilai sendiri kesimpulan yang dibuat berdasarkan fakta yang tersedia.

Kes kematian Epstein terus menjadi perhatian umum sejak 2019, dengan pelbagai spekulasi berterusan berikutan hubungan rapatnya dengan tokoh berpengaruh dalam bidang politik, perniagaan dan hiburan di peringkat antarabangsa.

Pihak BBC telah menghubungi Sampson untuk mendapatkan reaksi lanjut terhadap dakwaan terbaharu yang dikemukakan oleh Freeman.

 

 

Must Watch Video

Advertisement