KUALA LUMPUR:Syarikat pengoperasi pengangkutan awam Prasarana Malaysia Berhad hari ini mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berkunjung ke ibu pejabatnya pagi ini bagi melakukan siasatan berhubung beberapa berita negatif berkaitan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Komunikasi dan Pegawai Pemasaran Prasarana Rafizah Amran berkata ia bukanlah serbuan, dan beliau sendiri ada semasa pegawai SPRM berkenaan tiba di ibu pejabat yang terletak di Bangsar itu bagi melakukan pemeriksaan dokumen.

"Kita berbesar hati akan membantu mereka dalam siasatan dan kita akan beri kerjasama sepenuhnya, setakat ini tidak ada sesiapa yang ditahan, tidak ada komputer riba atau telefon bimbit dan sebagainya yang disita.

"Seperti saya katakan ia hanya satu siasatan, ada beberapa dokumen mereka minta untuk diambil kerana mereka memerlukan masa untuk memeriksanya," katanya pada sidang media isu-isu berkaitan Prasarana di ibu pejabat syarikat itu, di sini hari ini.

Sidang media itu diadakan Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datin Norlia Noah serta pegawai kanan Prasarana bagi menjawab beberapa laporan portal media mengenai SPRM yang dikatakan kononnya menyerbu syarikat berkenaan.

-- BERNAMA