Rapid Rail Sdn Bhd mengumumkan operasi baharu dua tren monorel berkapasiti empat gerabak yang akan mula beroperasi esok.

Gerabak yang lebih selesa serta mempunyai ciri-ciri keselamatan yang diperhebatkan itu akan memberikan wajah baru kepada sistem pengangkutan aliran ringan di Kuala Lumpur.

Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, dua gerabak baharu itu telah melalui beberapa siri ujian pada mei lalu dan sudah mendapat kelulusan untuk beroperasi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Set ketiga gerabak baharu itu kini sedang melalui siri ujian dan pentauliahan.

Gerabak keempat pula akan dihantar pada penghujung bulan ini dan baki sembilan lagi set gerabak baharu itu akan dihantar secara berperingkat tahun hadapan.

aliran ringan
Monorel itu menawarkan ciri-ciri keselamatan tambahan dan keselesaan. - Sumber Foto rapidKL

Selain menggandakan kapasiti, gerabak baharu itu dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan keselamatan dan keselesaan.

Pada masa sama, Rapid Rail juga telah menaik taraf semua 11 stesen untuk memudahkan akses dan memberi keselesaan kepada penumpang.

Dengan tambahan dua lagi gerabak setiap tren.

Ia mampu mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak dengan menawarkan dua kali ganda kapasiti penumpang.

Gerabak baharu itu juga mempunyai ruang dalam yang lebih luas serta mempunyai tingkap sisi yang boleh dibuka untuk pengaliran udara ketika kecemasan.

Selain itu, terdapat juga pintu keselamatan di setiap platform.

Lebih menarik, ciri baharu monorel juga mesra orang kelainan upaya (OKU).

Pengawasan sekuriti yang sistematik turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV)

Bagi memberi informasi kepada pengguna, skrin info perjalanan turut disediakan di setiap gerabak.

Turut terdapat butang komunikasi interkom yang memudahkan perhubungan pengguna dengan pemandu terutama ketika kecemasan.

Selain itu, sistem 'run-flat' turut diaplikasi pada gerabak baharu ini di mana ia masih boleh beroperasi walaupun tayar tidak mempunyai angin.

Sementara itu, warga kota yang ditemui teruja menantikan pengumuman pengenalan monorel empat gerabak tersebut.

Mereka berharap pengenalan tren baru itu mampu mengurangkan kesesakkan di ibu kota.

Pada masa sama mereka juga berharap syarikat penyedia perkhidmatan monorel itu, Prasarana Malaysia Berhad akan terus proaktif dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua penguna.