Premis perniagaan di Petaling Street beroperasi seperti biasa biarpun ada perancangan untuk mengadakan Perhimpunan Gerakan Merah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata perniagaan di sebelah pagi tertumpu kepada pusat makanan manakala gerai-gerai lain mula dibuka secara berperingkat mulai 10 pagi.

Tinjauan Astro AWANI menunjukkan kawasan yang seringkali dibanjiri pelancong dan pengunjung tempatan berada dalam keadaan tenang pada hari ini.

Kedai dan gerai beroperasi seperti biasa mulai jam 3 petang untuk menyambut pelanggan.

"Pemantauan di kawasan Bukit Bintang khasnya di Plaza Low Yat mendapati perniagaan berjalan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Tambahnya, tiada elemen yang menunjukkan kehadiran kumpulan Baju Merah di kawasan sekitar Jalan Petaling atau Bukit Bintang.

"Rondaan dan pemerhatian polis diteruskan dan penugasan anggota setakat ini mencukupi," tambahnya.

Kedai dan gerai beroperasi seperti biasa mulai jam 3 petang untuk menyambut pelanggan.

Hilal Azmi
Orang ramai terutamanya pengunjung tempatan masih berkunjung ke Jalan Petaling seperti biasa. - Gambar Astro AWANI/HILAL AZMI

Presiden Persatuan Veteran Tentera (PVTM), Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju pada Jumaat, menegaskan perhimpunan di Petaling Street yang dijadualkan berlangsung hari ini telah dibatalkan atas nasihat pihak berkuasa.

Ali dalam satu temuramah bersama The Malaysian Insider pada Jumaat dilaporkan berkata pihaknya ingin memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk bertindak balas atas permintaan supaya lebih ramai peniaga Melayu dibenarkan menjalankan perniagaan di kawasan itu.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos ditahan pada jam 9 malam Jumaat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di bawah Seksyen 105 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan di Jalan Petaling, hari ini.

Dalam satu kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, Jamal ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan.

Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah ini memberi kuasa penuh kepada polis untuk menangkap dan menahan sesiapa sahaja yang terlibat bagi mencegah jenayah daripada berlaku.