PUTRAJAYA: Lebih 700 gerai dan restoran di seluruh negara sudah menawarkan Menu Rahmah, dan jumlah yang bakal menyertai inisiatif berkenaan dijangka meningkat dua kali ganda bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

"Pada bulan hadapan jumlah penawaran tersebut bakal meningkat dua kali ganda termasuk penglibatan francais restoran makanan segera bagi terus membantu mengurangkan beban rakyat," katanya.

Menu Rahmah merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang digerakkan oleh peniaga secara sukarela, dengan menyediakan hidangan pada harga RM5 dan ke bawah.

Salahuddin berkata setakat ini tiada sebarang aduan rasmi diterima yang mengatakan makanan ditawarkan Menu Rahmah adalah koman atau tidak berkhasiat.

"Dari awal lagi pemain industri terbabit dalam sesi libat urus berhubung penyediaan menu berkenaan, dan mereka tidak dipaksa malah sukarela untuk membantu rakyat bagi menyediakan hidangan yang berkualiti," katanya dan maklum balas diterima menyatakan jumlah pelanggan para peserta juga semakin bertambah.

Salahuddin berkata langkah seterusnya adalah untuk bertemu dengan pemain industri sektor pembuatan dalam usaha untuk meringankan beban pemilik gerai makanan yang terlibat menawarkan Menu Rahmah.

"Saya akan berjumpa dengan pihak sektor pembuatan dan mungkin kita bincang sama ada pihak tersebut boleh beri harga 'Rahmah' kepada pemilik gerai. Itu langkah seterusnya yang akan dijalankan," katanya.

Fasa kedua dan ketiga yang akan mula dilaksanakan bulan depan melibatkan Lebuhraya Plus wilayah selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), katanya.

-- BERNAMA