Skip to main content

Malaysia

Presiden dan CEO Kumpulan SD Guthrie Mohd Haris Mohd Arshad dipilih Pengerusi Baharu MPOA

PENGERUSI MPOA
Mohd Haris menggantikan Datuk Lee Yeow Chor, yang menerajui MPOA sebagai pengerusi selama enam tahun.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad, dipilih sebagai Pengerusi baharu Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) bagi penggal 2026 hingga 2028.

Pelantikan beliau diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-27 MPOA yang berlangsung di Royale Chulan Damansara pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, MPOA berkata Mohd Haris membawa lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor hiliran minyak sawit global, khususnya dalam perdagangan komoditi, perolehan serta transformasi strategik.

Menurut persatuan itu, pengalaman luas beliau dijangka memacu fasa pertumbuhan seterusnya MPOA, di samping memperkukuh daya saing industri sawit Malaysia dalam persekitaran pasaran global yang semakin mencabar.

Selain menerajui SD Guthrie Berhad, Mohd Haris turut memegang beberapa jawatan penting dalam industri termasuk sebagai Lembaga Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM).

Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang berperanan memperkukuh pembangunan perdagangan serta pemasaran minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa.

Mohd Haris menggantikan Datuk Lee Yeow Chor, yang menerajui MPOA sebagai pengerusi selama enam tahun.

Sebagai pengerusi baharu, beliau akan memimpin hala tuju strategik MPOA serta bekerjasama rapat dengan barisan kepimpinan persatuan bagi memperjuangkan kepentingan industri sawit ke arah pembangunan yang lebih mampan, berdaya saing dan makmur.

MPOA merupakan antara badan industri utama yang mewakili sektor perladangan sawit negara dengan 139 syarikat ahli, merangkumi 1.915 juta hektar kawasan perladangan serta mengendalikan 1,316 estet dan 227 kilang di seluruh Malaysia.

Persatuan itu turut berperanan memperkukuh kerjasama antara pemain industri dengan kerajaan serta agensi berkaitan dalam aspek pematuhan, pembangunan dasar, peraturan dan piawaian industri perladangan negara.

Must Watch Video

Advertisement