SEPANG: Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan negara ke Malaysia sehingga Sabtu ini.

Pesawat yang membawa presiden dan isteri Elke Budenbender, serta delegasi termasuk pegawai kanan, ahli perniagaan dan pengamal media mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.12 petang.

Steinmeier, yang disambut menteri pengiring, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Azmi Nik Ahmad, sejurus tiba, diberi sambutan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Arifuddin Md Yusuf.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Duta Besar Jerman di Malaysia, Dr Peter Blomeyer.

Lawatan negara Steinmeier itu sebagai sebahagian usaha berterusan mengukuhkan hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Jerman.

Kementerian Luar berkata lawatan Steinmeier itu akan memberikan peluang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara kedua negara.

Lawatan negara terakhir melibatkan presiden Jerman ke Malaysia ialah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU). Pada 2022, nilai pendapatan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus berjumlah RM59.87 bilion berbanding RM53.99 bilion (US$13.03 bilion) pada 2021.

Steinmeier akan diberikan sambutan negara di pekarangan Parlimen di Kuala Lumpur esok pagi dan menerima kunjungan hormat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada sebelah petang.

Steinmeier juga dijadual mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara serta diraikan dalam majlis santapan negara.

-- BERNAMA