KUALA LUMPUR: Bencana banjir yang berlaku di lapan buah negeri termasuk Selangor dan beberapa daerah di Pahang serta Negeri Sembilan baru-baru sudah tentunya memberi kesan mendalam kepada kebanyakan mangsa yang terlibat, termasuklah dari aspek psikologi.

Tragedi yang mengakibatkan kemusnahan besar harta benda dan setakat ini meragut 48 nyawa, membuatkan ada mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut, trauma selain mengalami gangguan emosi dan mental.

Beliau berkata, terdapat mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda dan kehilangan ahli keluarga namun masih mampu kekal tenang dan fokus untuk meneruskan kehidupan, membaik pulih keadaan rumah, kenderaan dan sebagainya.

Sebaliknya, terdapat juga individu yang dari segi perbandingannya, cabaran yang dihadapi agak sederhana sebagai contoh tersadai di tepi jalan untuk beberapa jam, namun mengalami tekanan sehingga tahap berputus asa.

"Antara faktor yang menentukan reaksi psikologi seseorang terhadap kejadian bencana seumpama ini termasuklah pengalaman silam berhadapan bencana, keberkesanan diri untuk menghadapi tekanan, pihak yang wajar dipertanggungjawabkan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

"Mereka yang pernah menghadapi bencana yang hampir serupa mungkin lebih terkesan dan mendapat reaksi stres akut yang berat kerana kejadian itu mengingatkan mereka akan penderitaan dan kesusahan yang dialami semasa bencana terdahulu atau, mungkin juga mereka menjadi lebih tenang dan tabah kerana telah lali dengan dugaan sebegini.

"Mereka yang mempunyai daya tahan yang kuat mungkin kurang terkesan dengan kejadian banjir besar ini, mampu segera mengadaptasi keadaan semasa dan mencari jalan penyelesaian terbaik akibat bencana ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.



FAKTOR SEMULAJADI MUDAH DITERIMA

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Najib berkata lazimnya semasa atau selepas kejadian bencana, individu cenderung untuk menyalahkan pihak tertentu seperti yang dapat dilihat yang berlaku di media sosial.

Persepsi siapa yang wajar dipersalahkan memainkan peranan penting dalam menentukan kesan psikologi akibat bencana.

Beliau berkata, mengikut kajian reaksi psikologi terhadap bencana, kejadian yang dilihat berpunca daripada faktor alam sekitar (berlaku secara semula jadi) secara relatifnya lebih mudah diterima oleh mangsa berbanding bencana yang dilihat sebagai disengajakan atau disebabkan kesalahan atau ketidakprihatinan pihak tertentu.

"Menurut beberapa kajian lain, sekiranya kejadian bencana dianggap memang tidak dapat dielakkan seperti bencana alam yang lazim berlaku pada masa tertentu contohnya banjir di Pantai Timur Semenanjung pada musim monsun sebegini, kesan psikologinya agak kurang.

"Sebaliknya apabila banjir besar berlaku di kawasan yang biasanya tidak terlibat banjir dan mangsa melihat ada faktor bukan semula jadi seperti kurang pemantauan kerajaan terhadap pembalakan berlebihan atau pembangunan yng tidak terancang, kesan marah dan tekanan yang dialami mungkin akan lebih teruk.

"Namun begitu, bukan semua orang yang terdedah kepada bencana terkesan daripada segi psikologi. Sebagai contoh dalam kajian saya bersama rakan-rakan terhadap mangsa gempa bumi di Sabah pada tahun 2015 mendapati kira-kira 54 peratus mangsa mengalami kesan psikologi dan selepas hampir lima bulan ia menurun kepada kira-kira lapan peratus sahaja," katanya.

Tambah beliau, tahap kesiapsiagaan bencana adalah faktor penting untuk memastikan daya tahan psikologi seseorang dalam menghadapi bencana.

"Sebagai contoh, kajian banjir di Terengganu pada 2014 menunjukkan bahawa tahap kesiapsiagaan bencana termasuk dari segi keupayaan penyesuaian kepada keadaan baru, sokongan sosial daripada ahli keluarga dan kesepakatan komuniti secara kolektif banyak membantu masyarakat mengurangkan kesan psikologi bencana itu," katanya.




UTAMA SOKONGAN EMOSI, BANTUAN PAKAR

Sokongan emosi adalah perkara paling penting kepada mereka yang terlibat dan pada peringkat awal keluarga atau rakan terdekat boleh mendengar keluhan serta bersifat prihatin apabila mangsa menyuarakan hasrat meminta bantuan.

"Ini termasuklah bantuan praktikal seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya dan cuba membantu mereka menghubungi keluarga dan rakan terdekat sekiranya terputus hubungan (akibat banjir). Di samping itu elakkan memberi kenyataan retorik seperti 'mujurlah tiada yang meninggal', 'panjang lagi umur awak', 'ini semua adalah kifarah', 'mudah-mudahan dosa...'

"Ini tidak bermaksud kenyataan itu salah namun dalam konteks situasi sekarang ia mungkin tidak sesuai kerana mangsa memerlukan masa untuk menerima dan redha akan musibah yang menimpa. Mungkin dengan cara mendengar dengan bersifat empati merupakan langkah paling tepat dalam tempoh terdekat selepas bencana," jelasnya.

Dr Muhammad Najib bagaimanapun berkata, sekiranya mangsa menunjukkan gejala tekanan perasaan yang teruk seperti menjerit dan menangis secara berterusan serta sukar dikawal, bantuan segera perlu diberikan oleh sukarelawan terlatih seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal atau ahli psikiatri.

Bernama pada 23 Disember lepas melaporkan seramai 872 sukarelawan kaunselor yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ditempatkan di tujuh negeri yang dilanda bencana banjir bagi tujuan membantu memulihkan emosi dan segala permasalahan dihadapi mangsa banjir yang trauma dengan musibah menimpa mereka.

"Kesan psikologi yang paling ketara adalah kecelaruan stres akutr (ASD), kecelaruan stres pasca trauma (PTSD) dan kecelaruan penyesuaian.

"ASD dan PTSD mempunyai ciri-ciri yang sama. Gejala utama diklasifikasikan kepada gejala gangguan berbentuk gambaran berulang kejadian buruk atau mimpi ngeri kejadian, mengelak untuk bercerita mengenai bencana atau untuk pergi ke tempat kejadian, mood yang negatif termasuk murung dan terlalu beremosi, panik, mudah terkejut dan kadangkala berkelakuan seperti hilang ingatan dan kaku.

"Cuma bezanya, ASD biasa berlaku sebaik sahaja bencana berlaku dan tidak terlalu lama, sementara PTSD gejalanya berterusan sehingga lebih sebulan dan kadangkala bermula selepas tempoh tertentu kejadian bencana. Kedua-dua keadaan ini memerlukan perhatian dan pemantauan oleh profesional kesihatan mental," jelasnya menambah AD pula melibatkan gejala kemurungan, kegelisahan dan sebagainya yang agak ringan tetapi tetap mengganggu urusan harian penghidapnya dan memerlukan bantuan profesional.




OPTIMUM SOP COVID-19 MASIH ADA

Turut mengingatkan rakyat bahawa pandemik COVID-19 masih belum berakhir, beliau berkata risiko jangkitan meningkat semasa bencana banjir sememangnya wujud kerana amat sukar mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dalam situasi semua orang bertarung nyawa menyelamatkan diri dan harta benda termasuk sewaktu berkumpul di pusat pemindahan sementara (PPS).

Tambahan pula, kebanyakan mangsa masih lagi dalam proses pemulihan daripada kesan psikososial pasca pandemik.

Justeru kata beliau, dalam situasi mencabar ini, baik mangsa banjir, sukarelawan mahupun ahli politik dan seluruh anggota masyarakat perlu mencuba untuk memaksimumkan pematuhan SOP.

"Bagi mereka yang mungkin berhadapan isu kebimbangan terlampau pula, barangkali bagi mengurangkan sedikit kebimbangan akan jangkitan berpeganglah bahawa, hampir semua orang dewasa di negara ini sudah lengkap vaksinasi, dan ramai yang telah menerima dos penggalak. Jadi, secara amnya, risiko jangkitan lebih-lebih lagi risiko mendapat jangkitan kategori yang lebih teruk iaitu kategori 3, 4 dan 5 adalah agak rendah," katanya.

Beliau pada masa sama berkata, bebanan mangsa banjir dapat dikurangkan dengan meningkatkan koordinasi bantuan termasuk dalam aspek pembersihan rumah, makanan dan kewangan baik di pihak kerajaan mahupun masyarakat secara keseluruhannya, selain memastikan bantuan yang diberikan sampai semaksimum mungkin kepada mangsa banjir.

Dr Muhammad Najib menambah, bencana banjir besar ini seharusnya menginsafkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam urusan pembangunan negara kerana faktor alam sekitar termasuk kesan pemanasan global, perubahan iklim, pergerakan air bawah tanah dan kawasan tadahan banjir turut perlu diambil kira.



SITUASI 'MENANG-MENANG' PEKERJA, MAJIKAN

Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, bencana banjir yang turut menjejaskan golongan pekerja, majikan termasuk mereka yang bekerja sendiri boleh memberi kesan trauma secara berfasa terutama semasa dan pasca banjir.

Bukan sahaja perlu memikirkan aspek kewangan apabila banyak harta benda baik di rumah mahupun tempat kerja musnah, golongan pekerja dan majikan yang terjejas juga mungkin memerlukan masa lebih lama untuk kembali bangkit dan memulihkan keadaan seperti sediakala.

"Ramai yang pertama kali berhadapan situasi banjir yang tidak dijangka ini. Ada yang berasa trauma dengan pengalaman yang dilalui semasa banjir sebagai contoh terpaksa duduk berjam-jam menahan lapar dan kesejukan di atas bumbung rumah menunggu bantuan sampai. Ini termasuklah warga emas, ibu berpantang dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

"Pengalaman pertama kali duduk di PPS sewaktu awal-awal bencana berlaku yang mungkin dalam keadaan tidak teratur, turut memberi rasa trauma dan tidak selesa kepada mangsa banjir. Pasca banjir pula, apabila pulang ke rumah atau datang ke pejabat dan melihat kerosakan yang berlaku pastinya menimbulkan rasa sedih, tekanan termasuk keletihan melampau untuk mengurus dan membersihkan semuanya," katanya.

Untuk itu, Dr Shawaludin berkata, di sinilah perlunya tolak ansur antara pekerja dan majikan kerana pekerja mungkin perlu mengambil cuti panjang bagi membersihkan rumah dan menguruskan beberapa urusan penting manakala majikan pula berhadapan kerugian besar apabila mesin dan peralatan di tempat kerja dilanda banjir.

"Wujudkan perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak (pekerja dan majikan). Pada waktu inilah baik pekerja mahupun majikan perlu saling memahami situasi masing-masing. Majikan mungkin boleh mempertimbangkan cuti kecemasan atau cuti ihsan kepada pekerja manakala pekerja juga perlu sedia membantu majikan untuk memulihkan kembali syarikat agar mereka masih ada tempat untuk mencari rezeki.

"Berlapang dadalah atas ujian yang berlaku ini dan orang sekeliling, ahli keluarga dan rakan terdekat perlu memberi kata-kata semangat dan positif kepada mangsa banjir. Sokongan dari aspek fizikal terutama kewangan amat penting dalam situasi ini terutama untuk perkara asas seperti makanan, susu anak, lampin pakai buang, pakaian dan sebagainya.

"Kita bimbang sekiranya trauma dan tekanan yang berlaku akibat banjir ini tidak dikendalikan dengan baik akan membawa kepada konflik yang lebih besar sebagai contoh pergaduhan suami isteri, anak-anak terbiar serta tekanan di tempat kerja tidak kiralah di pihak pekerja mahupun majikan," katanya menambah sokongan fizikal juga perlu diimbangi dengan sokongan mental.


-- BERNAMA