Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya sudah turun berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands awal lagi.

Itu kata-kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila ditanya tentang penglibatan bekas perdana menteri tersebut berkempen untuk calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata kes mahkamah yang melibatkan Najib dan pelbagai skandal kewangan tidak seharusnya dijadikan isu kerana beliau merupakan anak tempatan.

“Kes mahkamah satu hal, asal usul dia daripada Pahang satu hal. 

Orang Pahang tengok dia sebagai anak pahang yang pernah menjadi perdana menteri dah pernah jadi menteri besar Pahang. 

“Jadi, apa nak jadi isu sangat? Kalau apa yang Datuk Najib bawa adalah untuk kebaikan, baiklah dia. Negeri dia kan,” katanya dalam sidang media ketika mengadakan perjumpaan bersama Veteran ATM di Felda Sungai Koyan, Jelai.

Beliau juga berkata kehadiran Najib ke Cameron Highlands adalah atas permintaan masyarakat Pahang.



“Pahang negerinya dan dia sepatutnya datang lebih awal daripada saya.
 Jika terdapat PRK di Johor, saya juga tidak akan tinggalkan negeri saya begitu sahaja,” tambahnya.

Hari pengundian PRK Cameron Highlands ini ditetapkan pada 26 Januari ini dengan pengundian awal dijalankan pula pada 22 Januari ini.