BENTONG: Pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai perlu menyampaikan mesej perjuangan politik mereka secara berhemah serta tidak menabur dakyah dan fitnah untuk meraih sokongan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata mereka seharusnya berbicara soal dasar dan perancangan yang ingin dilaksana bagi membolehkan rakyat membuat pilihan.

"Apa yang patut diperkata ialah mereka akan melakukan sesuatu, satu perubahan yang luar biasa untuk kepentingan agama, masyarakat, pendidikan seumpamanya," katanya pemberita selepas menghadiri program sembang santai di sini hari ini.

Beliau berkata semua pihak, khususnya pemimpin politik, juga perlu beretika dalam menggunakan platform media sosial untuk berkempen kerana ia boleh diakses dengan mudah terutama oleh golongan muda.

"Bila kita salah guna medium kempen dengan sedemikian rupa, ia akan melahirkan satu kelompok masyarakat yang menerima maklumat salah," katanya.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili Barisan Nasional, Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 7 Okt ini manakala 3 Okt sebagai tarikh pengundian awal.

-- BERNAMA