Sejumlah 19 laporan polis telah diterima dan tiga kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sejak Sabtu lalu hingga 5 petang Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah berkata satu daripada kertas siasatan itu, melibatkan kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954 iaitu memberi ceramah tanpa permit.

Dalam satu kenyataan, beliau turut berkata 51 permit kempen politik dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sejak Sabtu, iaitu hari penamaan calon, hingga Selasa.

Ia merangkumi 32 permit bagi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN)(15) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) (empat).

"Sehingga kini keadaan keselamatan di seluruh kawasan DUN Semenyih adalah terkawal," kata Mohd Sabri.

Polis menasihatkan parti-parti yang terlibat mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang PRK itu, selain mengingatkan mereka supaya membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen.

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), calon bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul (PSM).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

-- BERNAMA