Pas menegaskan tiada kerjasama di antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis memandangkan tiada calon dari Pas yang akan mengambil bahagian.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Pas tidak pernah mengadakan perbincangan dengan BN untuk PRK itu atau merancang untuk duduk sepentas berceramah atau berkempen bersama.

"Tiada. Tiada perbincangan apa-apa. Cuma kita buat keputusan tidak bertanding, itu sahaja, tiada perbincangan, tiada apa.

"Tidak berkempen sebab kita tak bertanding, sebab kita tak ada calon. Itu sahaja. Dari segi mengundi, terserah kepada ahli

"Mana boleh nak bersama, sebab kita parti lain-lain," katanya kepada pemberita ketika waktu rehat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Komplek Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

BACA: Calon BN yakin dengan kerjasama Pas

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mendakwa parti itu dan Pas sudah sepakat untuk mengadakan satu program bersama sempena kempen PRK itu walaupun tidak dianjurkan secara rasmi atas nama parti.

"Tak betullah. Mungkin harapan dia (Ismail Sabri) nak pujuk kita.

"Kita buat keputusan tidak akan bertanding dan tidak ada sebarang kempen. Turun ke Sungai Kandis pun tidak," tambahnya.

Ismail Sabri sebelum ini turut menyatakan harapannya agar program bersama Pas itu nanti akan mempertemukan dua parti itu di pentas yang sama, walaupun tidak dianjurkan secara rasmi atas nama parti.

Malah, katanya, UMNO sudah berbincang dan Pas juga sudah bersetuju untuk mengadakan program berkenaan.

BACA: Pas tidak mahu terpalit isu UMNO - Penganalisis

BACA: PAS umum bertanding lepas jumpa Zahid


PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

PRK 4 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ahmad Zawawi Mohd Mughni dari PKR, Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan Murthy Krishnasamy (Bebas).