BUKIT AMAN: Sebanyak 400 tangkapan telah dibuat menerusi Op Cantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan ketenteraman awam dapat dikekalkan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan yang dibuat melibatkan pergaduhan, rusuhan dan pelbagai kesalahan jenayah lain yang dikenal pasti boleh merebak menjadi insiden yang lebih parah.

"Op Cantas ini telah bermula pada pertengahan Mei hingga 29 Jun di Kelantan dan lima negeri lain iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di sini, hari ini.

Apabila ditanya sama ada tangkapan yang dibuat melibatkan mana-mana parti politik, Razarudin menjelaskan sebahagiannya tidak berkaitan, memandangkan polis mahu mengambil tindakan pencegahan awal.

Beliau berkata, Op Cantas akan terus digerakkan semasa tempoh berkempen termasuk aktiviti ceramah yang melibat 82 pasukan di daerah-daerah dan kontinjen-kontinjen yang ditetapkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, PDRM mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses pilihan raya

Dalam operasi tersebut seramai 80,000 pegawai dan anggota seluruh negara diatur gerak untuk penugasan PRU15 bagi memastikan tahap keselamatan terjamin dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi secara selamat.